Dalam kesibukan pembikin-pembikin dan pengarah-pengarah filem Hollywood membuat filem superhero, jauh merentasi benua, tidak ketinggalan seorang pengarah muda yang memang tidak berbakat langsung, cuba-cuba membuat filem superhero ( kalau dalam Bahasa Melayu, superhero maksudnya adiwira) yang lain daripada yang lain. Menurut pengarah muda tersebut, beliau ingin mencuba sesuatu yang baru yang lari dari normal (ini tidak bermakna dia tidak normal ya, harus di ingat itu).
Saya berkesempatan menghadiri majlis pra-tonton filem adiwira ciptaan pengarah muda, Karim Kameron yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Siantan. Dapat dilihat sambutan yang diterima sungguh baik dan ramai yang menghadirkan diri, walaupun hampir kesemua yang hadir adalah krew produksi sendiri (meramaikan majlis agak nya). Selepas majlis pra-tonton, di adakan pula sesi soal jawab ringkas yang berkesudahan dengan tidak ada langsung soalan ditanya dek kerana semuanya sibuk berebut-rebut mengambil makanan yang ditaja oleh Bro! Claypot Satu.
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Akhir Ashaari (dia menukarkan namanya kepada SenyuMan di tengah cerita nanti) yang lahir dalam keluarga yang mempunyai ramai adik beradik dan hidup aman bahagia bersama-sama membesar dan dewasa, lantas merasakan bahawasanya dia perlu menyebarkan mesej keamanan dan kebahagiaan kepada mereka yang sedang bersedih dan tidak gembira. Berlainan dengan adiwira dari barat yang kebanyakannya menentang kejahatan, SenyuMan lakonan Karim Kameron (ya, pengarah filem ini sendiri yang menjadi hero, tidak cukup bajet agaknya) datang membantu mereka yang berada dalam kesedihan dan tidak gembira. Sama ada mereka ditinggalkan kekasih, mereka kehilangan anak kucing kesayangan akibat demam denggi, atau pun mereka yang kecewa kerana gagal dalam ujian SPA, semuanya akan di hiburkan oleh SenyuMan.
Namun, tidak semuanya mampu di gembirakan oleh SenyuMan (berasal dari perkataan Senyum + Man = Lelaki Senyum). SenyuMan berdepan masalah apabila dia tidak dapat memberi kebahagian, kecerian dan kegembiraan kepada teman wanitanya, Rusilawati (lakonan Lisa Suriapagi) yang memang tidak boleh berpisah langsung dengan SenyuMan. Dalam keadaan dilema memilih antara kegembiraan teman wanita dan kebahagian dunia sejagat, SenyuMan diserang oleh sindrom Tiadalagisenyummu yang sangat bahaya bagi dirinya. Mampukah SenyuMan membahagiakan Rusilawati dan dunia sejagat? Berjayakah dia menghalang sindrom Tiadalagisenyummu dari merebak? Jangan lupa saksikan filem SenyuMan Ragamu di mimpi-mimpi anda malam ini (malam-malam lain pun boleh juga).
Notakaki – Seperti Adiwira yang lain, SenyuMan dilengkapi dengan peralatan-peralatan untuk memudahkan kerja-kerja dia seperti Lolipop Kegembiraan yang boleh berubah warna apabila dikemam/dihisap, dan Gula-gula Senyumanmu Ceria yang boleh menyebabkan mereka yang memakan gula-gula ini ketika sedih dan berduka akan bertukar menjadi gembira dan happily ever after gitu..